Siapakah Ahli Sunnah wal Jama'ah?
SIAPAKAH AHLI AL-SUNNAH WA AL-JAM‘AH
Istilah Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah merujuk kepada golongan yang berpegang teguh kepada al-Sunnah serta beriltizam dengan manhaj al-jamā‘ah, iaitu kesatuan umat Islam di bawah neraca kefahaman para ulama muktabar.
Imam al-Shatibi dalam al-I’tisam (3/301) telah menyenaraikan 5 makna al-Jama'ah dan kesemuanya merujuk kembali kepada majoriti umat Islam yang mengikut jumhur ulama Islam dan pemimpin yang haq yang dipanggil sebagai al-Sawad al-A’zam.
Justeru, seseorang yang mendakwa dirinya sebagai Ahl al-Sunnah tetapi enggan bersama al-jamā‘ah dalam erti kata menolak kerangka kesatuan ilmiah dan disiplin keilmuan yang diwarisi neraca kaedahnya maka dakwaan tersebut menjadi tidak sempurna, bahkan bercanggah dengan makna yang terkandung dalam istilah itu sendiri.
Dalam keilmuan Islam, antara sumber yang memiliki autoriti bagi penetapan hukum syarak selepas al-Qur’an dan al-Sunnah ialah ijmā‘, iaitu kesepakatan para ulama mujtahid pada sesuatu zaman terhadap sesuatu hukum.
Kedudukan ijmā‘ sebagai dalil yang qat‘i menunjukkan bahawa kebenaran dalam agama ini tidak dibina atas pandangan individu yang terpencil, tetapi tertegak di atas kesepakatan kolektif para ulama yang mewakili arus perdana umat yang membentuk sebuah naratif yang tidak dapat disangkal.
Hakikat bahawa ijmā‘ diiktiraf sebagai hujah syar'i membuktikan bahawa kesatuan ilmiah dan kesepakatan ulama mempunyai nilai kebenaran yang tinggi dalam Islam. Ini kerana kesepakatan tidak mungkin terhasil daripada kelompok kecil yang terasing daripada arus utama, sebaliknya ia lahir daripada jaringan keilmuan yang luas dan bersanad serta berakar dalam pewarisan neraca ilmu yang kukuh dikalangan ulama.
Seandainya konsep kesepakatan ulama tidak mempunyai kedudukan yang kukuh dan tidak diyakini kebenarannya, nescaya ia tidak akan diangkat sebagai salah satu dalil syarak yang mengikat. Oleh itu, komitmen terhadap al-jamā‘ah bukan sekadar slogan, tetapi merupakan prinsip asas dalam memahami dan mengamalkan agama menurut manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jamā‘ah.
Ijma' telah diterima sebagai dalil syara' oleh jumhur ulama berdasarkan dalil al-Quran dan hadis. Allah Ta'ala berfirman:
وَمَنْ يُّشَا قِقِ الرَّسُوْلَ مِنْۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَـهُ الْهُدٰى وَ يَـتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيْلِ الْمُؤْمِنِيْنَ نُوَلِّهٖ مَا تَوَلّٰى وَنُصْلِهٖ جَهَـنَّمَ ۗ وَسَآءَتْ مَصِيْرًا
"Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya, dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam; dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
(Surah al-Nisa' : Ayat 115)
Imam al-Shafi’i dalam al-Risalah, Imam al-Tabari dalam al-Tafsir dan Imam al-Jassas dalam Ahkam al-Qur'an menegaskan bahawa frasa ayat “ويَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ” inilah yang dijadikan sandaran oleh sebahagian besar ulama uṣūl sebagai dalil kewajipan mengikuti jalan orang-orang beriman, dan seterusnya sebagai asas kepada ijmāʿ sebagai hujah agama yang sah dan diiktiraf.
Imam Ibnu Asakir dalam Tabyin Kizb al-Muftari (ms.134) mengatakan bahawa pada zamannya, al-Sawad al-A’zam (majoriti Ulama teramai) ialah al-Asha’irah.
Imam Taj al-Din al-Subki dalam Mu’id al-Ni’am menyatakan bahawa majoriti Ulama pada zaman beliau dan sebelum beliau adalah terdiri dari kalangan al-Asha’irah disamping al-Maturidiyyah, dan pengikut mazhab Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan Hanbali.
Imam Ibnu Hajar al-Haytami dalam al-Fatāwā al-Hadīthiyyah berkata, “Adapun Ahli Sunnah adalah Aqidah yang dipegang oleh Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari, Imam Abu Mansur al-Maturidi dan mereka yang mengikuti manhaj kedua-duanya”.
Dalam Kitab Ithaf al-Sadah al-Muttaqin, Imam al-Murtadha Al-Zabidi menulis Ahli al-Sunnah Wal Jama'ah itu adalah :
إذا أطلق أهل السنة والجماعة فالمراد بهم الأشاعرة والماتريدية
"Apabila disebutkan Ahli al-Sunnah Wal Jama'ah maka yang di maksudkan adalah pengikut Al-Asy'ari dan Al-Maturidi dalam Manhaj Aqidah."
Berpeganglah dengan Majoriti Ulama.
Rasulullah SAW bersabda:
إن أمتي لا تجتمع على ضلالة فإذا رأيتم الإختلاف فعليكم بالسواد الأعظم
"Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti kelompok teramai (al-sawad al-a'zam) . Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka" (Hadith riwayat Abd bin Hamid dan Ibn Majah).
لا تجتمع هذه الأمة على ضلالة أبدأ، وإن يد الله مع الجماعة فاتبعوا
السواد الأعظم، فإن من شد شد في النار
"Tidak akan berhimpun umat dalam kesesatan
selamanya. Sesungguhnya bantuan Allah Ta'ala bersama dengan Jamaah. Maka, ikutilah majoriti teramai. Sesiapa yang terpinggir, maka dia terpinggir dalam dalam neraka.
(Hadith riwayat Al-Hakim, Abu
Nu'aym dan melalui jalan Al-Diya' Al-Maqdisi daripada Ibn Umar)
Terdapat segelintir pihak yang cuba menafikan hal di atas dengan bersandar kepada hadith:
بدأ الإسلام غريبا سيعود غريبا فطوبى للغرباء
"Islam bermula sebagai asing, akan kembali asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing".
Walhal, hadith di atas bukan untuk menafikan hadith yang menyebut untuk berpegang dengan kelompok majoriti. Ulama mengatakan hadith ini bermaksud, asing kerana kurang orang beramal walaupun pegangan majoriti sudah benar. Lihatlah perkataan Imam al-Sindi dalam mensyarahkan hadith al-ghuraba' dengan
berkata:
بقلة من يقوم به ويعين عليه وإن كان أهله كثير
"(Akan kembali asing) dengan sedikitnya orang yang mendirikannya (mengamalkannya) dan membantunya walaupun ramai ahlinya (penganut agama Islam)."
Ada pula yang tidak percaya kepada hadith-hadith yang menyebut tentang kebenaran umat ini terletak pada majoriti ulama'nya beralasankan dengan sebuah Firman Allah “Dan jika engkau menuruti kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta” (al-An’am:116).
Akan tetapi, penentangan itu adalah tergelincir dari kebenaran kerana Mulla Ali al-Qari dalam Tafsirnya menjelaskan bahawa maksud "kebanyakan orang di muka bumi" adalah dari kalangan mushrikin dan orang-orang yang jahil yang hanya mengikut hawa nafsu.
Imam Qurtubi dalam Tafsirnya menjelaskan bahawa maksud “kebanyakan orang” dalam ayat di atas adalah orang-orang kafir.
Imam Ibnu ‘Ashur dalam Tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini bukan bermaksud bahawa majoriti manusia itu menyesatkan, kerana majoriti manusia bukan semua menyesatkan, sebaliknya makna ‘kebanyakan orang’ di sini ialah merujuk kepada orang-orang yang tidak berada di atas jalan hidayah. Menurut beliau, perkataan ‘kebanyakan orang’ yang disebutkan ayat ini adalah tidak termasuk para Ulama yang benar dan mujtahid yang berijtihad kerana mereka tetap benar walau ijtihad mereka salah.
Maka, berpeganglah dengan ulama yang berada dalam kelompok jumhur dan majoriti samada dalam akidah, fiqh mahupun tasawwuf, dan ikutlah mazhab imam-imam bermula dari zaman Salaf dan sudah diwarisi oleh ribuan para mufassirin, muhaddithin, usuliyyun, fuqaha', qurra', sufiyyun, dan mu'arrikhun, Insya Allah anda selamat.
Selamat berpuasa dan menyambut Ramadan.
Oleh
Iqbal Zain al-jauhari

Posting Komentar untuk "Siapakah Ahli Sunnah wal Jama'ah? "